Friday, April 24, 2009

Rumah Prihatin masuk KOSMO!

Rumah diperteguh falsafah - Kosmo Ahad

Rumah diperteguh falsafah

HAMZAH ABDUL HAMID

hamzahabdulhamid@kosmo.com.my

Rumah Pengasih Warga Prihatin bukan sahaja menyediakan tempat perlindungan anak-anak yatim dan orang kurang upaya (OKU), malah mementingkan perkembangan sahsiah, jati diri dan survival kehidupan kesemua penghuninya.


SEJARAH kewujudannya bermula dengan sebuah kediaman setingkat. Terletak di atas
sebuah tanah persendirian seluas 0.273 ekar, apa yang boleh dilihat
kini adalah fizikalnya yang sedang mengalami transisi.

Rumah di Sungai Ramal Baru, Kajang, Selangor ini sedang diperbesar menjadi
sebuah kediaman tiga tingkat termasuk penyambungan beberapa binaan fungsi di
sekelilingnya.

Biarpun kerja ubah elok masih jauh daripada sempurna, lebih-lebih lagi melihatkan
timbunan kayu dan rangka keluli di halamannya yang berdebu pasir, tiada langsung
ada petanda bahawa ia bakal menjadi projek yang tidak terbela.

Kalau dinilai tentang material binaannya, ia seolah-olah mencabar syarat minimum
kualiti pembinaan.

Lalu terlintas di fikiran, mengapakah rumah ini begitu istimewa? Apakah pula
tujuan pembinaannya?

“Rumah adalah unit asas yang menempatkan penghuni di dalamnya sekali
gus menterjemah kepimpinan sebuah keluarga,” kata seorang lelaki yang
duduk di kerusi roda di hadapan penulis.

Difahamkan bahawa tulang paha kirinya telah patah akibat terjatuh dari pelantar
ketika sedang sibuk membuat kerja-kerja pembinaan rumah tersebut pada subuh
26 Oktober lalu.


Sesekali memperbetulkan letak duduk kakinya saat dirasakan kurang selesa, Dr.
Masjuki Mohd. Musuri terus ramah berkongsi cerita.

Menurut pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin itu, bangunan kediamannya yang
sudah ‘diwakafkan’ menjadi pusat aktiviti kumpulan tersebut begitu
unik. Ini kerana kerana keseluruhan proses pembinaannya adalah hasil pengorbanan
dan kerja tangan pendokong-pendokongnya sendiri.

“Kami berhempas pulas membanting tenaga membangunkannya dengan dana yang
sangat terhad. Ada juga menerima tajaan ikhlas pihak tertentu, tetapi selebihnya
adalah sumbangan sebahagian pendapatan daripada 20 keluarga asal Warga Prihatin,”
ujarnya yang mesra menyambut sapaan isi rumah yang memanggilnya dengan gelaran
‘ayahanda’.

Tanpa bantuan kerajaan, rumah yang dijangka dapat menampung kehadiran lebih
200 orang keluarga besar Warga Prihatin ini dibangunkan secara berperingkat
dengan memanfaatkan bahan terpakai dan terbuang, seperti kayu dan keluli yang
diguna semula

“Sumber kewangan juga dikumpulkan daripada pengamalan konsep puasa secara
hakikat. Konsep yang dimaksudkan itu adalah dengan mengoptimum perbelanjaan,”
jelasnya.

PERHATIKAN pada wajah anak-anak muda ini. Siapakah idola yang mereka contohi untuk menjadi insan yang indah pekerti, tinggi pencapaian hidup, seterusnya kenal erti mencurah bakti?


p/s:gambo den ado tuu..huahuahua..


Kata Masjuki, antara konsep puasa adalah dengan membelanjakan perkara yang perlu
sahaja. Misalnya, warga Prihatin yang dahulunya membelanjakan sehingga RM200
sebulan untuk rokok, berjaya berfikir secara realistik untuk menyalurkan belanja
itu ke dalam tabung pembinaan Rumah Pengasih.

Semua itu berkat pemahaman dan muafakat mereka dalam mendasari konsep kebajikan
dan kebaktian, sebagaimana yang dianjurkan dalam pelbagai aktiviti komuniti
mereka setiap minggu.

“Selain menjadi tempat berteduh dan makan minum golongan tersebut, rumah
sudah pun memberi ruang memadani untuk mereka belajar tentang akhlak dan moral,
ilmu dan amal, konsep keluarga Imran (surah Ali-Imran) serta banyak lagi,”
ujarnya yang mengingatkan kalau rumah tanpa disertai didikan sedemikian, kesannya
umpama membunuh generasi.

Tanpa disedari, setiap soalan tentang aktiviti yang dijalankan di rumah tersebut
disulam falsafah yang indah dan berteraskan kemurnian Islam.

“Cuba lihat pada kualiti kayu yang dijadikan lantai aras dan dinding
di tingkat dua dan tiga. Sekali pandang ia tidak sempurna bukan?” tanya
Khalinan Mohd Tahar, salah seorang ketua keluarga Warga Prihatin yang bertanggungjawab
dalam selok-belok pertukangan di Rumah Pengasih.


Khalinan menerangkan, setiap kayu yang lemah ada kaedah tersendiri untuk menguatkannya.
Kayu yang bengkok boleh diapit supaya lurus, yang kasar boleh diketam, yang
meleding boleh diragum dan diratakan, manakala yang rapuh boleh disokong dan
dipasak dengan kayu lain. Akhirnya setiap kayu menjadi lebih kuat dan berguna.

“Bukankah itu juga ibaratnya sikap dan sifat manusia? Kalau seseorang
itu sesat haluannya, dia perlu dirapati untuk membimbingnya ke jalan yang lurus.

“Kalau peribadinya tidak elok, seseorang boleh menasihati dan membantu
menghaluskannya. Kalau dia lemah bersendirian, jemaah di sekelilingnya boleh
menyokongnya dan memberi kekuatan,” kata seorang lagi ketua keluarga,
Johari Ibrahim.

Kagum dengan penjelasan itu, penulis kembali meliarkan mata memandang ke sekeliling
kawasan. Tatkala terlihat sebuah takungan konkrit yang berbentuk linear, seperti
tab mandi yang panjang, penulis bertanya: “Bagaimana dengan kolam itu?”

Masjuki cermat berhujah: “Kolam renang itu bukan sekadar untuk anak-anak
berekreasi dan berseronok semata-mata. Di sebalik latihan pernafasan dan renang,
kemahiran itu sendiri sebenarnya suatu yang relevan dengan realiti kehidupan.”

p/s: skali lg gambo kami kuar..huahua..(tp ngah dok sebok ngejas video cam..)


Menurutnya, dalam anak-anak itu membesar dan mengenal dunia, mereka perlu ‘berenang’
dalam lautan manusia yang penuh cabaran.

“Setiap daripada mereka juga perlu ‘mengapungkan’ diri kewujudan
mereka dilihat,” terang Masjuki yang menyifatkan orang yang gagal dalam
kehidupan adalah sama seperti mangsa lemas di air.

Mengadaptasi konsep itu, antara aktiviti yang dianjurkan untuk kanak-kanak
di Rumah Pengasih adalah bersangkut-paut dengan skil personaliti, seperti pengucapan
awam dan komunikasi berkumpulan.

Nah! Sampai begitu sekali perincian teladan dan iktibar bagi setiap sudut fizikal
Rumah Pengasih dan aktiviti yang dijalankan di dalamnya.

Itu membuatkan apa sahaja pertanyaan berikutnya menjadi lebih asyik untuk didengar
dan ditelusuri. Mungkin tidak ramai yang pernah memikirkan bagaimana setiap
suatu yang dipandang, dilafaz, didengar dan dilakukan itu adalah sekecil-kecil
hinggalah sebesar-besar pemahaman ibadah.


Di Rumah Pengasih ini, difahamkan bahawa ibu bapa dan anak-anak sering disyorkan
untuk bersama-sama dalam majlis ilmu dan aktiviti gotong-royong. Tanpa diasingkan,
setiap anggota keluarga berpeluang memahami sisi peribadi masing-masing seterusnya
mengukuhkan ikatan kekeluargaan.

“Masalah wanita dan para ibu, pasangan suami isteri, anak remaja, hinggalah
kepada golongan fakir dan golongan kurang upaya, mereka ada tempat dan peranan
masing-masing di rumah ini. Mereka memiliki antara satu sama lain untuk berkongsi
masalah dan mencari penyelesaian,” kata Masjuki.

Besar harapan Masjuki serta himpunan orang kepercayaannya agar Rumah Pengasih
Warga Prihatin berjaya sebagai wadah pembentuk konsep keluarga contoh.

“Falsafah kami adalah Al-Quran sebagai sumber rujukan dan makanan harian
untuk menyelesaikan masalah keluarga, manakala sunah Rasul pula sebagai panduan
khususnya dalam pendidikan keluarga,” ujarnya.

“Kami tidak memandang dari mana mereka datang atau siapa mereka sebelum
ini. Lebih penting adalah dengan hasil asuhan di sini, mudah-mudahan mereka
berubah menjadi insan yang lebih baik,” terangnya.

Apa yang dimaksudkan adalah anak-anak yang tinggi sahsiah, institusi keluarga
yang murni arah tujunya, serta semangat kemuafakatan yang kukuh dan kekal. Semua
itu demi menjalani kehidupan yang senantiasa diberkati dengan pesan-pesan ke
arah kebaikan.


DR. MASJUKI MOHD. MUSURI

HASRAT jemaah Warga Prihatin terhadap fungsi dan bakti rumah ini begitu
tinggi hinggakan mereka sanggup berkorban masa, tenaga dan wang untuk membangunkannya.

Sesungguhnya setiap sen yang dibelanjakan untuk pembinaan rumah Warga Prihatin
ini tidak pernah sesekali diminta pulangan dalam nilai mata wang. Kepuasan matlamatnya
adalah apa yang disebutkan tadi.

Barangkali di dalam rumah ini, tiada yang menyesali akan setiap kudrat yang
diperah, titik keringat yang tumpah, ataupun tulang paha yang patah. (HAMZAH ABDUL HAMID
-

hamzahabdulhamid@kosmo.com.my)

0 comments: